Saturday, September 24, 2011

Bercinta Kerana Allah

Assalammualaikum w.b.t


“ Daripada Abu Muslim al-Khaulani daripada Mu’az bin Jabal r.a., ia berkata : “ Aku mendengar Rasulullah s.a.w, menceritakan daripada Tuhannya dengan sabdanya:     
 
"Orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.”

Abu Muslim menyambung : “ Kemudian aku keluar hingga bertemu Ubadah bin al-Samit, lalu aku menyebutnya kepadanya hadis Mu’az bin Jabal, maka ia menyatakan: 
“ Aku mendengar Rasulullah s.a.w. menceritakan daripada Tuhannya yang berfirman : 
“ Cinta-Ku berhak untuk orang yang bercinta kerana-Ku, cinta-Ku berhak untuk orang yang saling tolong-menolong kerana-Ku dan cinta-Ku berhak untuk orang yang saling berkunjung kerana-Ku.” Orang yang bercinta kerana Allah S.W.T berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.”

(Riwayat Ahmad)
Sesungguhnya amat besar peranan cinta yang Allah hadirkan di dalam diri kita. Ia bukan sekadar membuai perasaan, bukan sekadar membolehkan kita merasai nikmat duniawi semata-mata, malah ia lebih daripada itu. Cinta adalah satu anugerah yang menjadi pintu bagi kita mengecap redha dan cintaNya. Justeru, selayaknya kita memaknakan cinta itu sebaik-baiknya.
Pernahkah terlintas di fikiran kita, sedalam mana cinta kita kepada Allah Sang Pencipta? Ikhlaskah kita mencintai-Nya? Adakah Dia juga membalas cinta kita? Sedalam mananya cintaNya kepada kita? Mari kita renung jauh ke dalam diri, ke lubuk hati. Benarkah kita mencintaiNya?
Tugu cinta yang dibina hanya kerana Allah yang membantu kita menggapai redhaNya. Andai kita mampu merealisasikannya semasa hidup di dunia, maka kita adalah manusia yang beruntung dan bakal meneguk nikmat yang tiada ternilai harganya di akhirat kelak. Namun, andai nafsu dunia dibiarkan menjadi raja, maka cinta yang tidak dipandu cahaya hanya sia-sia. Kerana cinta itu tiada nilainya walaupun sedikit pun di sisi Allah.
Marilah sama-sama kita tuluskan cinta kita hanya kerana Dia. Semoga kehidupan kita hari-hari akan sentiasa dirahmati dan diredhai olehnya.

Wassalam... 

No comments:

Post a Comment